KUALA LUMPUR: Sekitar pukul 5.57 pagi tadi, karyawan filem veteran, Ahmad Ibrahim atau lebih tersohor dengan panggilan Mat London menghembuskan nafas terakhir akibat pelbagai komplikasi penyakit.

Allahyarham Mat London yang berusia 74 tahun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), kata anaknya, Salmany Akir Ahmad dalam hantaran di akaun Faceboknya.

"Sesudah laungan azan subuh... Papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat," tulisnya.

Pada Khamis, dalam hantaran di Facebooknya juga, Salmany memaklumkan ayahnya  mengenai keadaan ayahnya yang juga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM)semakin nazak.

"Malam ini agak suram dan syahdu. Di kala nak menaip posting ini pun jari jemari terketar-ketar.

"Papa dah tenat dan nazak. Saya mohon semua doakan Papa. Papa baik orangnya. Ramai orang senang, sayang dengan Papa.

"Malam ini, aku tengok Papa sudah semakin lemah. Bacaan surah Yassin yang termampu aku buat untuk Papa.

"Kami, anak-anak, menantu dan cucu semua sayang Papa. Kami doakan Papa," tulisnya.

Jenazah pelakon dan pengarah popular itu juga akan dibawa ke Masjid Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat.

Allahyarham Mat London sebelum ini dirawat di ICU, HKL sejak 16 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru dan berada dalam keadaan kritikal.

Media difahamkan, juga terpaksa ditidurkan berikutan keadaan paru-paru dan jantungnya sangat lemah.

"Papa dimasukkan ke hospital pada 13 Jun lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru selepas mengadu tidak bermaya.

"Selepas dirawat di wad biasa, papa kemudian dipindahkan ke wad pengasingan. Berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot, papa dipindahkan ke wad ICU untuk pemantauan rapi.

"Dan keadaan bertambah kritikal selepas papa tidak memberi sebarang tindak balas dan berada dalam keadaan separuh sedar.

"Susulan paras oksigen yang rendah dan kadar degupan jantungnya lemah, papa terpaksa ditidurkan pada 26 Jun lalu," katanya menantu Allahyarham, Muhamad Daniel Ahmad..

Tambah Daniel, selain jangkitan paru-paru dan keupayaan jantung untuk mengepam darah sangat lemah, Allahyarham bapa mertuanya juga mengalami masalah buah pinggang.